Thursday, June 23, 2011

Dugaan yang dihadapi Imam as-Syafie RA

Dugaan Imam Syafie

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah 
Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul 
Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau 
bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi 
Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah 
Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah 
dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana 
ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun 
di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, 
sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur 
dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun 
telah mengerti isi kitab Al-Muwatha', karangan Imam Malik, tidak lama 
kemudian Al-Muwatha' telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha' tersebut berisi 
hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi 
fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith 
serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di
 Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. 
Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa 
setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. 
Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai
 keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan 
penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. 
Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan 
yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid 
sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha 
untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan 
sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana 
itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang 
ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah 
ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para 
pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka 
akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. 
Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam 
Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa 
ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan 
dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan
 (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan 
selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang 
menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat 
tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk 
ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, 
mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang 
keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang 
yang diberi nama dengan natha'.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon 
keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan 
baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada 
Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat 
dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan 
beliau.

"Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh."

Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu
 "Warahmatullah."

"Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh." Jawab baginda. Kemudian baginda
 bertanya: "Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan
 oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum 
mendapat izin dari saya?"

Imam Syafie menjawab: "Tidak saya ucapkan kata "Warahmatullah" kerana 
rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri." Mendengar kata-kata itu
 hati baginda jadi lembut.

Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan 
mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan 
mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang 
yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi 
mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar 
akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi 
aman sentosa."

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: "Demikianlah 
Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, 
jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman." Hati baginda
 menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: 
"Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak
 tuduhan atas dirimu."

"Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya 
masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab 
dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk 
membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka 
Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang 
membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak 
menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya
 yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

"Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda 
itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. 
Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda 
adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama
 menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya 
sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah 
umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan 
sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah." Demikian jawab 
Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada
 Imam Syafie: "Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan 
antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati 
pengetahuanmu wahai Imam Syafie."

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas 
dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan 
hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta
 pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian
 dari Allah SWT yang harus kita hadapi

jadi apa yang menjelma kat benak aku ialah...
orang2 yang bertaqwa memang tak lepas dari ujian tuhan...
sepertimana cerita Imam Syafie ni...
aku teringat hadis yang lebih kurang begini bnyinya...
"ujian yang paling berat adalah diberikan kepada para rasul dan nabi
kemudian para aulia dan orang soleh, kemudian mengikut tahap 
keimanan seseorang mumin itu..

jadi begini punya kesusahan yang ditempuhi Imam Syafie pasti iman 
beliau sangat tinggi...
jadi dalam kedaan aku yang sedang menuntut ilmu di UTHManiah...
harapanku pada mu Tuhan,,,
agar segala apajua ujian yang kau berikan...
jadikanlah aku sabar...

No comments:

Post a Comment